Tuesday, November 9, 2010

Tugas itu, Tanggungjawab Bersama : Timbalan Pengarah II Unit Hisbah

KAHERAH, 6 NOVEMBER : “ Tugas amar makruf dan nahi mungkar ini merupakan tanggungjawab bersama. Ia bukanlah tugas beberapa individu, bahkan ia merupakan tugas mulia yang patut dilaksanakan oleh mereka yang bergelar muslim”, tegas Saudari Norazura Rahim, selaku Timbalan Pengarah II, Unit Hisbah PMRAM Pusat. Beliau menegaskan di dalam ucapannya dalam forum “ Mengembalikan Identiti Akhlak Islamiyyah”, di Rumah Terengganu. 

Tambah beliau, kerjasama yang ditunjukkan oleh wakil Hisbah cawangan-cawangan dalam operasi Hisbah di Mansurah bulan Oktober yang lalu, merupakan satu usaha murni yang wajar dipuji. Beliau mewakili Unit Hisbah dalam Roadshow Gempur Syakhsiyyah anjuran tiga unit penting di bawah Lajnah (Unit) Dakwah dan Pembangunan Insan PMRAM, iaitu Unit Biah Solehah, Unit Hisbah dan Unit Bait Muslim.

Beliau menyeru kepada seluruh mahasiswa untuk meningkatkan integriti selaku muslim untuk berkerjasama dalam menjayakan tuntutan dakwah ini. Dalam roadshow tersebut, beliau sempat mendedahkan beberapa masalah hisbah yang kian meruncing di bumi Mesir ini. Beliau menambah, ketika ditemui, gabungan dan kerjsama yang dimainkan oleh semua pihak bakal menatijahkan hasil yang baik. Jika semua pimpinan, musyrif dan musyrifah rumah, para fasilitator, kawan-kawan dan semua pihak memainkan peranan, maka mudahlah tugas dakwah untuk disampaikan. Harapan beliau, semua pihak sudi memberikan sumbangan dalam membanteras segala gejala maksiat yang berlaku.

Dalam forum tersebut, Saudara Majdi Zakaria turut menyajikan hadirin dengan satu tayangan hukuman terhadap pelaku maksiat di Indonesia. Tayangan tersebut memaparkan contoh-contoh perlaksaan hisbah di kawasan tersebut. Sebat di khalayak ramai, merupakan antara perlaksanaan takzir yang dilakukan dan berjaya membuatkan para hadirin membuka mata.

RUMAH TERENGGANU : DESTINASI TERAKHIR ROADSHOW

KAHERAH, 6 NOVEMBER : Seksyen Hayyu ‘Asyir, menjadi destinasi terakhir edisi jelajah Kaherah melalui Roadshow Gempur Syakhsiyah di bawah gabungan tiga unit, Unit Biah Solehah, Unit Hisbah dan Unit Bait Muslim. Gabungan tiga unit di bawah Lajnah(Unit) Dakwah dan Pembangunan Insan itu telah pun mangakhiri  roadshow mereka di kawasan Hayyu ‘Asyir setelah menjelajah cawangan muhafazah, kawasan Hayyu Sabiek dan kawasan Rab’ah. Majlis diadakan di Dewan Rumah Terengganu berjaya menghimpunkan ahli dari negeri Pahang, Terengganu dan Perak.

Tajuk forum “Mengembalikan Identiti Akhlak Islamiyyah” berjaya dikupas oleh ahli panel yang mewakili tiga unit tersebut. Forum yang dipengerusikan oleh Saudara Mohd Hafizzu Azri menampilkan Saudari Rashidah Mujahid, wakil Unit Bait Muslim, Saudari Norazura Rahim, wakil Unit Hisbah dan Saudara Al-Hasyir Mohd Rabeh. Majlis bermula selepas solat Isyak secara berjemaah. Pamplet bagi ketiga-tiga unit diedarkan bagi memberi pendedahan dan pengenalan awal kepada yang hadir. Selain itu, borang kaji selidik turut diedarkan.

Timbalan Pengarah Roadshow, Saudari Fatehah mewakili ucapan Pengarah dalam ucapan aluan ketika majlis bermula. Beliau menyebut beberapa perkara penting antaranya tujuan dan objektif roadshow diadakan. Perjalanan AJK Pelaksana  mejelajah sekitar kawasan penempatan mahasiswa Malaysia, bukanlah satu perjalanan yang biasa, bahkan ia merupakan salah satu cara bagi mengembalikan suasana Islam yang dikehendaki Islam itu sendiri. Yang Dipertua Keluarga Terengganu, Saudara Mohd Ridzuan Abu Bakar turut berucap mewakili tuan rumah. Beliau mengalu-alukan roadshow yang diadakan.

“Unit Bait Muslim bukanlah ditubuhkan semata-mata mahu menjodohkan pasangan, namun ia merupakan satu wasilah terbaik bagi mereka yang ingin mencari pasangan mengikut anjuran Islam. Unit ini juga berperanan memberi kebajikan bagi mereka yang telah berkahwin”, ujar Saudari Rasyidah. Para hadirin turut disajikan dengan tayangan slide setiap unit dan tayangan mengenai perlaksanaan hukuman terhadap pelaku-pelaku maksiat yang telah dibuat di Indonesia.

Majlis penyampaian hadiah dan banner bagi setiap wakil negeri yang hadir telah disempurnakan oleh Saudara Mohd Adlan Mokhtaruddin, Naib Presiden I merangkap Ketua Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan PMRAM. Beberapa wakil HEWI PMRAM turut hadir memeriahkan majlis iaitu, Saudari Hurriyyah Abdul Mokti, Ketua Unit Dakwah dan Pembangunan Insan HEWI, Saudari Samihah Abdullah, Ketua Unit Muhafazah HEWI dan Saudari Nurul Hasanah binti Yahuza, Ketua Unit Pendidikan dan Komunikasi Bahasa. Majlis berakhir dengan sedikit jamuan ringan.

Monday, November 8, 2010

CANDID CAMERA





Amalan Hisbah Di Zaman Awal Islam


Oleh : Ibnu Kathir    
        Pelaksanaan Hisbah di dalam tradisi Islam bermula sejak dari zaman Rasulullah lagi. Baginda telah melantik pegawai-pegawai untuk mengawasi perjalanan pasar dan urusan perdagangan. Mereka ini digelar ‘Penyelia Pasar’ (Sahib as-Suq) atau ‘Petugas di Pasar’ (al-Amil fil-Suq)[1]. Bidang tugas mereka pada masa itu bertumpu kepada memastikan tidak berlaku penindasan atau penipuan dan semua pihak patuh kepada sistem timbangan dan sukatan atau dengan erti kata lain menjamin berlaku keadilan di dalam urusniaga. Amalan ini diambil serius oleh para Khalifah ar-Rasyidin seterusnya. Adalah diriwayatkan bahawa Umar ibn al-Khattab dan Ali ibn Abi Talib sendiri pernah menjalankan tugas mengawasi perjalanan pasar ini. Menjelang akhir pemerintahan Umayyah, gelaran petugas ini bertukar kepada Muhtasib.
     Pelaksanaan sistem ini berterusan sepanjang pemerintahan Islam. Terdapat pelbagai penulisan yang membicarakan prinsip dan pelaksanaan sistem Hisbah samada yang membicarakan Hisbah secara khusus seperti Al-Hisbah fil-Islam oleh Ibn Taimiyah atau karya-karya mengenai fiqh dan pemikiran politik Islam yang membicarakan soal Hisbah di dalamnya seperti Ahkam al-Sultaniyah oleh al-Mawardi dan Ihya Ulum ad-Din oleh Imam al-Ghazali. Malah karya-karya umum yang membicarakan Islam secara menyeluruh juga seringkali memuatkan topik Hisbah di dalamnya. Terdapat juga karya yang merupakan manual atau panduan secara praktis di dalam melaksanakan Hisbah. Salah satu karya berbentuk manual kerja sebegini yang dianggap terhebat ialah Nihayat at-Rutbah fi Talab al-Hisbah oleh as-Syaizari yang ditulis sebagai panduan untuk Sultan Salahuddin al-Ayubi.

     Kewujudan berpuluh-puluh atau mungkin ratusan karya ini adalah cerminan betapa topik Hisbah diberikan perhatian khusus dan penting. Malah pengamatan terhadap karya-karya ini memberikan gambaran jelas bagaimana pemerintah-pemerintah Islam melaksanakan Hisbah dengan serius.

HISBAH MENURUT PERSPEKTIF ISLAM - Memahami Gerak Kerja hisbah


TAKRIF HISBAH
HISBAH ialah `Menegakkan yang ma'ruf apabila ianya ditinggalkan secara terang-terangan dan mencegah kemungkaran apabila ianya dilakukan secara terang-terangan pula'.

    Ini membawa maksud bahawa sekiranya ianya ditinggalkan atau dilakukan secara sembunyi maka ianya bukan lagi merupakan tanggungjawab hisbah, tetapi menjadi tanggungjawab para hakim apabila wujud pendakwaan yang mana ianya melibatkan penyaksian dan keterangan.

WAJIBNYA HISBAH

    Ramai orang menyangka bahawa walaupun melaksana tugas-tugas amar ma'ruf dan nahi mungkar diberikan ganjaran yang amat besar, tetapi mereka menyangka tidak menjadi kesalahan jika meninggalkan kerja-kerja tersebut. Mereka menyangka kejayaan hanya terhenti kepada usaha-usaha dan amal-amal berkaitan dengan ibadat-ibadat seperti solat, puasa, sedekah, haji dan sebagainya sahaja dan kesalahan serta keburukan orang lain tidak menjadi tanggungjawab mereka untuk membetulkannya.

    Mereka seolah-olah telah lupa ataupun sengaja cuba melupakan bahawa tugas ini merupakan arahan Allah dan melaksanakannya merupakan prasyarat kepada kejayaan di dunia dan juga di akhirat. Maka bersandarkan kepada nas-nas di atas, para ulama' berpendapat bahawa kerja-kerja hisbah adalah sesuatu yang fardhu.  Antara mereka ialah ada yang menyatakan bahawa amar ma'ruf dan nahi mungkar merupakan dua fardhu dari fardhu-fardhu Allah manakala Abu Bakar al Jassas berpendapat Allah memperkuatkan kefarduannya dalam beberapa ayat manakala Rasul-Nya pula menjelas melalui hadith-hadith yang mutawatir darinya.  Oleh itu dalil wajibnya melaksanakan hisbah bersandarkan kepada :

•    Arahan Allah dan Rasul-Nya
•    Iman dan Hisbah merupakan dua perkara yang tidak boleh dipisahkan
•    Antara yang menjadi syarat kepada bai'ah ialah memberi nasihat sesama muslim
•    Antara syarat mendapat kejayaan ialah melaksanakan kerja-kerja hisbah
•    Meninggalkan tanggungjawab hisbah dianggap bersekutu dalam melakukan kemungkaran dan dosa bersama-sama pelakunya
•    Amaran keras dengan azab Allah disebabkan meninggalkan kerja-kerja hisbah
•    Turunnya azab Allah diakibatkan kerana meninggalkan hisbah.

STATUS KEFARDHUAN HISBAH
    Para Ulama' berselilih pendapat dalam menentukan status kefarduannya sama ada fardhu `ain ataupun fardhu kifayah, namun dalam suasana-suasana tertentu para Ulama' bersepakat mengatakan bahawa ianya boleh berubah menjadi fardhu `Ain.  Antara suasana-suasana tersebut ialah :

•    Apabila petugas atau pegawai dilantik oleh pihak berkuasa
•    Apabila tidak kedapatan orang lain yang mengetahui dan memahami kewajipan hisbah kecuali dirinya sahaja
•    Apabila kemampuan untuk melaksanakan tugas ini hanya terbatas kepada beberapa orang sahaja maka hisbah itu menjadi fardhu `ain ke atas mereka
•    Apabila berlaku perubahan situasi di mana bilangan para da'ie berkurangan ditambah pula dengan bertambahnya kemungkaran serta kejahilan menguasai keadaan, maka ketika itu hisbah menjadi fardhu `ain.

AMAR MA'RUF

•    Hak-hak Allah
        Wajib ke atas al-Muhtasib melaksanakan tugas amar ma'ruf dan nahi mungkar apabila berkenaan perkara-perkara yang berkait dengan hak Allah seperti sembahyang Juma'at sembahyang jamaah di masjid dan lain-lain yang secara terbuka ditinggalkan.

•    Hak-hak Anak Adam
Ianya terbahagi kepada dua:
1.    Hak Am
Merangkumi semua perkara yang berkaitan dengan keperluan manusia seperti bekalan air minuman di dalam sesebuah negeri atau kemudahan-kemudahan awam yang asasi.  Perkara ini bergantung kepada kedudukan kewangan negeri atau baitulmal dan pihak kerajaan bertanggungjawab supaya memperbaiki keadaan tersebut.  kalau tidak ada harta baitulmal, hendaklah diarahkan orang-orang Islam yang kaya untuk menyelesaikan masalah tersebut.

2.    Hak Khas
Ianya mencakupi hak-hak yang berkaitan dengan individu-individu seperti hutang piutang dan lain-lain hak.  Dalam keadaan ini, muhtasib hendaklah mengarahkan kepada orang-orang yang berhutang supaya membayar hutang-hutang mereka dengan syarat ada pengaduan dan jika mempunyai keupayaan.

3.    Hak bersama
Ianya mencakupi antara lainnya perkara-perkara berikut:-
•    Mengarahkan para bapa mengahwinkan anak-anak perempuan mereka apabila menepati syarat-syarat agar mereka tidak terhalang daripada berkahwin
•    Mewajibkan para wanita mematuhi idah mereka sama ada idah wafat atau idah talaq
•    Mengarahkan pemilik-pemilik pengangkutan supaya tidak memuat secara berlebihan ke atas kenderaan mereka
•    Mengambil kecaknaan terhadap luqatah seperti kehilangan barangan dan sebagainya

NAHI MUNGKAR

•    Hak-hak Allah
Antaranya:
1.    Berkaitan dengan `ibadah yang mengandungi perkara-perkara berikut:
•    Orang melakukan `ibadah tidak mengikut syari`at Islam
•    Orang yang tidak mengambil berat terhadap kesihatan tubuh badan pakaian dan tempat sembahyang
•    Orang yang berbuka puasa pada bulan Ramadhan tanpa ada keuzuran syar'ie
•    Orang yang tidak membayar zakat harta-harta batin
•    Orang yang mengajar dan memberi fatwa tanpa ada ilmu.
2.    Berkaitan dengan larangan-larangan syara'
•    Hendaklah mencegah orang ramai dari berada ditempat-tempat yang meragukan dan yang boleh mendatangkan tohmahan serta tuduhan orang seperti wujudnya percampuran kaum lelaki dan perempuan yang bukan mahram di tempat-tempat yang diragui.

3.    Berkaitan dengan mu'amalah
•    Hal ini mengandungi mu'amalah-mu'a malah yang mungkar dari sudut syara' seperti jual beli yang tidak sah dan apa-apa urusan jual beli yang dilarang oleh syara' walaupun di kalangan mereka saling redha menredhai seperti penipuan harga, timbangan dan sukatan.
•    Hak-hak Anak Adam
1.    Hak jiran
Hal ini mengandungi pencerobohan seseorang terhadap sempadan jirannya.  Walaupun begitu, muhtasib tidak boleh mengambil tindakan selagi tidak ada aduan dari jirannya.

2.    Di pusat-pusat perniagaan dan di kilang-kilang; ada tiga keadaan yang perlu diambil perhatian:
•    Kesempurnaan dan kekurangan, contoh kerja-kerja perubatan yang dilakukan oleh para doktor
•    Amanah dan khianat; contohnya amalan tukang-tukang jahit yang tidak menepati janji
•    Elok dan tidak elok dalam apa-apa kerja yang dilakukan
•    Hak-hak bersama
    Antarannya ialah pencegahan perbuatan mengintai rumah orang lain, mencegah imam-imam masjid besar daripada memanjangkan sembahyang dan mencegah para hakim daripada tidak melayani orang-orang yang berbalah, mencegah pemilik alat-alat pengangkutan dari mengangkut lebih dari had muatan dan lain-lain lagi.  Muhtasib hendaklah melaksanakan apa-apa tugas lain yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka oleh pihak berkuasa selain dari perkara-perkara yang disebutkan di atas.

PENUTUP
    Semoga dengan penerangan ringkas ini memberi kefahaman kepada semua untuk menggerakkan hisbah. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kitab Al Ahkam As Sultaniah karangan Imam Mawardi.


Disediakan Oleh :
Unit Penerangan Hisbah PMRAM 2010

PERINGATAN BUAT DIRI SENDIRI...


Al-Imam Ahmad berkata: “Aku tidak mengetahui sebuah dosa -setelah dosa membunuh jiwa- yang lebih besar dari dosa zina.”

“Dan orang-orang yang tidak menyembah tuhan lain beserta Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) kecuali dengan (alasan) yang benar, dan tidak berzina, barangsiapa yang melakukan demikian itu, niscaya dia mendapat (pembalasan) dosa(nya), (yakni) akan dilipat gandakan azab untuknya pada hari Kiamat dan dia akan kekal dalam azab itu, dalam keadaan terhina kecuali orang-orang yang bertaubat …” (Al-Furqan: 68-70).

“Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji (fahisyah) dan suatu jalan yang buruk.” (Al-Isra’: 32).

Mendekati saja tidak boleh. Tahu maksudnya mendekati perzinaan? Ertinya dengan pergaulan yang bebas, rapat dengan perempuan yang bukan muhrimnya atau sudah tahu tempat itu tempat ‘kupu-kupu malam’ disitulah dia bermesra…“Tidak cuma mendekat saja, cuma melihat saja” Kenapa? “Cuci mata” katanya begitu. Itu namanya sudah mendekati perzinaan.

Allah is watching!

“Dia mengetahui (pandangan) mata yang khianat dan apa yang disembunyikan oleh hati.” (Ghafir: 19).

Cinta itu indah? Cinta itu fitrah…

“Dijadikan indah pada pandangan manusia, kecintaan kepada apa-apa yang diinginkan iaitu wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan disisi Allah tempat kembali yang baik.” (Al-Qur`an: Al-Imran ayat 14)

Tetapi awas!

Cintamu kepada sesuatu menjadikan kamu buta dan tuli (HR. Abu Dawud dan Ahmad)

JADI: TUNDUKKANLAH PANDANGANMU

Katakanlah kepada laki-laki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya (an-Nuur: 30).

TUTUPLAH AURATMU

Dan jangan lah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka melabuhkan kain tudung ke dadanya (an-Nuur: 31).


Hai nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: Hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah dikenali, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan ALLAH adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang (an-Nuur: 59).

ADAKAN BATASAN ANTARA DIRIMU DAN KAUM SEJENISMU

Dan apabila kalian meminta sesuatu kepada mereka (para wanita) maka mintalah dari balik hijab. (al-Ahzaab: 53)

JANGAN BERDUA DUAAN!

Janganlah salah seorang dari kalian berdua-duan dengan seorang wanita, kerana syaitan akan menjadi ketiganya (Hadis Riwayat Ahmad & Tirmidzi dengan sanad yang sahih).

JANGAN TUNDUK (TEWAS) DALAM BERBICARA

Hai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara (berkata-kata yang menggoda) sehingga berkeinginan orang yang ada penyakit di dalam hatinya tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik. (al-Ahzaab: 32)

JANGAN DISENTUH SIAPA YANG TIDAK HALAL BAGIMU

Dari Maqil bin Yasar r.a. berkata: Seandainya kepala seseorang ditusuk dengan jarum besi itu masih lebih baik daripada menyentuh kaum wanita yang tidak halal baginya (Hadis Hasan Riwayat Thabrani dalam Mujam Kabir).

*PERINGATAN BUAT DIRIKU YANG SERING LUPA….