Tuesday, November 9, 2010

Tugas itu, Tanggungjawab Bersama : Timbalan Pengarah II Unit Hisbah

KAHERAH, 6 NOVEMBER : “ Tugas amar makruf dan nahi mungkar ini merupakan tanggungjawab bersama. Ia bukanlah tugas beberapa individu, bahkan ia merupakan tugas mulia yang patut dilaksanakan oleh mereka yang bergelar muslim”, tegas Saudari Norazura Rahim, selaku Timbalan Pengarah II, Unit Hisbah PMRAM Pusat. Beliau menegaskan di dalam ucapannya dalam forum “ Mengembalikan Identiti Akhlak Islamiyyah”, di Rumah Terengganu. 

Tambah beliau, kerjasama yang ditunjukkan oleh wakil Hisbah cawangan-cawangan dalam operasi Hisbah di Mansurah bulan Oktober yang lalu, merupakan satu usaha murni yang wajar dipuji. Beliau mewakili Unit Hisbah dalam Roadshow Gempur Syakhsiyyah anjuran tiga unit penting di bawah Lajnah (Unit) Dakwah dan Pembangunan Insan PMRAM, iaitu Unit Biah Solehah, Unit Hisbah dan Unit Bait Muslim.

Beliau menyeru kepada seluruh mahasiswa untuk meningkatkan integriti selaku muslim untuk berkerjasama dalam menjayakan tuntutan dakwah ini. Dalam roadshow tersebut, beliau sempat mendedahkan beberapa masalah hisbah yang kian meruncing di bumi Mesir ini. Beliau menambah, ketika ditemui, gabungan dan kerjsama yang dimainkan oleh semua pihak bakal menatijahkan hasil yang baik. Jika semua pimpinan, musyrif dan musyrifah rumah, para fasilitator, kawan-kawan dan semua pihak memainkan peranan, maka mudahlah tugas dakwah untuk disampaikan. Harapan beliau, semua pihak sudi memberikan sumbangan dalam membanteras segala gejala maksiat yang berlaku.

Dalam forum tersebut, Saudara Majdi Zakaria turut menyajikan hadirin dengan satu tayangan hukuman terhadap pelaku maksiat di Indonesia. Tayangan tersebut memaparkan contoh-contoh perlaksaan hisbah di kawasan tersebut. Sebat di khalayak ramai, merupakan antara perlaksanaan takzir yang dilakukan dan berjaya membuatkan para hadirin membuka mata.

No comments:

Post a Comment